Latest News

Kenapa Istana Pilih Azmin Ali Sebagai Menteri Besar?

KLANG - Istana Selangor memberikan sebab kelewatan pelantikan Menteri Besar Selangor adalah disebabkan pergolakan dalaman PKR dan ketidaksefahaman parti dalam PR dalam pencalonan menteri besar.

Mohamad Munir

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, menyatakan keengganan DAP dan PKR mematuhi arahan Istana pada 27 Ogos lalu untuk mencalonkan lebih dua nama menyulitkan lagi tindakan Sultan sehingga terpaksa meneliti calon lain dalam parti itu yang tidak dicalonkan. 

Beliau menyatakan Mohamed Azmin dipilih selepas Sultan Selangor mempertimbangkan konsensus PR mengenai kerusi menteri besar di Selangor dan percaya Mohamed Azmin pilihan terbaik untuk mendapat sokongan semua parti.

"Baginda mengambil maklum bahawa Kerajaan Negeri Selangor dibentuk melalui kesepakatan tiga komponen parti Pas, PKR dan DAP.

"Baginda juga mengambil maklum kesefahaman di antara tiga parti tersebut bahawa Menteri Besar Selangor perlu dilantik di kalangan Adun PKR untuk mendapatkan kepercayaan majoriti dan sokongan dari parti-parti PR di Dewan Negeri Selangor," katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan tersebut juga menyatakan Mohamed Azmin, yang dilahirkan di Singapura telah bermastautin dan dibesarkan di Hulu Kelang, Gombak sejak tahun 1968.

Azmin Ali

Mohamed Azmin mendapat surat lantikan dari istana semalam untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, menyelesaikan teka-teki siapa bakal menerajui Selangor.

PKR dan DAP semalam turut sebulat suara menyokong Mohamed Azmin sekali gus memberikan sokongan majoriti kepada beliau.

Kedua parti itu sebelum ini hanya menghantar satu nama iaitu Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sehingga ditegur oleh istana yang mahukan lebih dari dua nama dari setiap parti.

0 Response to "Kenapa Istana Pilih Azmin Ali Sebagai Menteri Besar?"

Close